Wednesday, December 28, 2011

:::Inilah CINTA dalam ISLAM:::


Cinta ISLAM – Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam.

Antara ayat yang kerap di ucapkan bila berbicara tentang cinta:

“Ala, aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..”
“Saya cintakan awak kerana Allah..”
“Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..”



Firman Allah S.W.T:

“Dan janganlah kalian mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

(Al-Israa’: 32)


Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naiknya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang.

Bagaimana kita boleh menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber’couple’ sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina.
Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.


“Macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!”
“Kalau minta ‘break’, nanti dia sanggup tunggu aku ke?”
“Tak apa kot, kami jaga pergaulan walaupun ‘couple’..”
“Kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..”



Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya? Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.

Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100% tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya.

Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.


Firman Allah di dalam Surah An-Nur:

“Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).”

(Al-Nur 24 :26)

Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi ‘realiti kehidupan’ ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati.

Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan.

Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud;

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa” (Al-Furqan 25:74″)

Ingatlah!

Percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.

Saturday, November 12, 2011

::Romantik itu sunnah Rasulullah S.A.W.::


Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati. Mungkin yang diketahui romantik sesama ‘couple’…No..No..No..ini romantik sesama pasangan suami isteri.. Apa lagi…Jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy..best oo kahwin…kalau tak percaya..cubalah kahwin :) .

Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.


Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menmpatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.

Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda Nabi SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.

Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.

Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.

Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa : “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.

Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.

Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.

Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”. Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.

Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.

Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.

Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.”Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.

Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.

Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”.Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.

Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.

Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.



Sumber: http://www.imamudasyraf.com/

Wednesday, October 19, 2011

::PATUTKAH BERKAHWIN AWAL??::


Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.


::KAHWIN WAKTU MASIH BELAJAR,ADAKAH TIDAK MENGGANGGU PELAJARAN??

Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

::SAYA MASIH BELAJAR,MACAM MANA MAHU BAGI NAFKAH PADA ISTERI KALAU BELUM ADA KERJA??

Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study, dan juga meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin RM50 atau RM100 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

::MACAM MANA MAHU CARI MODAL UNTUK MAJLIS PERKAHWINAN??

Sebelum itu, saya mahu tanya. Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Dan tidak perlu sanding-sanding semua tu kerana hukumnya haram jika bersanding depan bukan mahram. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam agama Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

::TIDAK TERLALU AWALKAH UNTUK SAYA BERKAHWIN??

Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

::BERSEDIAKAH SAYA UNTUK KAHWIN AWAL??

Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.

::MACAM MANA DENGAN RESTU IBU BAPA??

Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)

Tuesday, September 27, 2011

::CIRI-CIRI WANITA SOLEHAH::

Menurut Abdullah bin Amru, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dunia ini adalah perhiasan. Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah”
-HR Muslim,an-nasai,ibn Majah dan Ibn Hibban.

Tiada banyak syarat yang akan dikenakan oleh Islam bagi wanita untuk dinobatkan dengan gelaran isteri solehah. Seterusnya pasti diganjari pahala syurga yang penuh kenikmatan daripada ALLAH S.W.T. Mereka hanya memenuhi dua syarat sahaja iaitu:
::Taat kepada ALLAH S.W.T dan Rasul-Nya.
::Taat kepada suami.
Perincian daripada dua syarat tersebut adalah seperti berikut…

::BERIMAN::

Isteri yang solehah merupakan wanita yang beriman. Mereka yang mencintai ALLAH S.W.T dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya.Seorang yang tabah dan sangat bersabar dalam menghadapi dugaan hidup, sentiasa mengharapkan pahala dari ALLAH S.W.T dalam mengurus rumah tangga serta tidak merungut dalam menghadapi sebararng masaalah.Golongan wanita ini sungguh akur beribadat malah lebih mudah taat kepada suami.Bersifat qana’ah (berpada-pada) serta pemurah kepada orang yang memerlukan bantuannya.Selain itu, mereka juga memelihara aurat dengan sebaik mungkin, berbuat baik kepada ibu bapa dan bersikap senang dengan tetangga.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
“Maka wanita yang soleha itu ialah yang taat (kepada ALLAH dan suaminya) serta yang memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya sebagaimana ALLAH telah memelihara dirinya” -Surah an-Nisa ;34

::BERAKHLAK MULIA::

Isteri solehah bukanlah wanita yang bebas dalam pergaulan. Jauh sekali berperangai seperti wanita jahiliah. Malah, mereka tidak tergolong di kalangan yang suka keluar malam, berfoya-foya atau melepak tanpa arah tujuan. Tidak perlu gusar kerana mereka seorang isteri yang akan mendapatkan izin suami terlebih dahulu sebelum keluar rumah, melakukan sesuatu perkara atau membuat sebarang keputusan. Mereka hanya berhias untuk suami tercinta sahaja, bukannya seorang yang suka berlebih-lebihan dalam perhiasan ketika keluar rumah. Tambahan pula, berperibadi mulia merupakan daya penarik mereka yang utama sebagai wanita solehah.
Akhlak mahmudah yang dimiliki membuatkan mereka sering menghindarkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara negatif seperti suka mengumpat, membawa fitnah, berburuk sangka dan sebagainya. Maka, tidak mustahillah jika golongan ini mempunyai sekeping hati yang begitu suci. Kewajipan terhadap suami terpelihara rapi. Isteri solehah sedia berkhidmat untuk suami dan sentiasa menyenangkan hati. Aduhai….beruntungnya bagi jejaka yang dapat menjadikan wanita solehah sebagai isteri yang bakal melahirkan zuriat pecinta ILAHI dan Nabi.

::LEMAH LEMBUT DAN PERAMAH::

Seorang isteri yang solehah perlu pandai mengambil hati suami. Tawanlah dengan tutur kata yang sopan, lemah lembut apabila berbicara, selalu senyum di samping mengucapkan kata-kata yang menyenangkan suami. Mereka tetap sebegitu walaupun berhadapan dengan keadaan suaminya dalam hal yang kurang menyenangkan suami. Sikap sebeginilah yang bisa mencairkan hati suami dan sering dirindui jika si isteri tiada di sisi. Elakkan daripada berkata-kata hal yang tidak disukai suami atau merungut-rungut mengenai kesusahan hidup.
Merekalah wanita penyejuk mata dan penawar hati dengan tingkahnya yang lemah lembut serta sikap peramahnya. Di samping itu juga, golongan wanita turut disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana setiap butir yang diucapkan tiada yang menyakitkan hati, menyinggung perasaan malah menenangkan sesiapa yang mendengarnya.

::PENYAYANG::

Sabda Rasulullah s.a.w
“Nikahilah wanita yang penyayang”-HR Abu Daud

Sifat penyayang sudah sinonim dengan insan yang bernama wanita. Mungkin naluri keibuan yang ada di dalam diri mereka yang menzahirkan sifat ini. Selain itu, mereka juga bersifat belas ihsan terhadap sesiapa sahaja sehinggalah kepada haiwan dan makhluk lain. Setiap tindak tanduk isteri solehah pasti akan menjurus ke arah kasih sayang terhadap suami dan anak-anak. Dengan sifat penyayangnya itu yang membuatkan mereka lebih banyak berkorban demi kebahagiaankeluarga tercinta.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda..
“Paling baiknya wanita Quraisy ialah wanita yang paling lembut kepada anaknya ketika masih kecil dan yang paling pandai menjaga harta suaminya”-HR Bukhari.

::BAIK KETURUNANNYA::

Kebiasaanya, benih yang baik akan menghasilkan tanaman yang baik juga. Begitu juga dalam urusan pemilihan calon isteri. Carilah bakal isteri daripada keturunan yang baik agar anak-anak yang bakal dilahirkan juga mewarisi kebaikan nenek moyang mereka. Jika keturunannya kurang baik, maka didiklah mereka dengan didikan agama yang sempurna agar kelak dia juga akan menjadi isteri yang solehah.

::ANGGUN::

Usahlah terlalu memilih isteri di kalangan wanita yang cantik sahaja tetapi pilihlah seseorang yang anggun peribadinya. Anggun di sini bermaksud segala tutur bicara dan budi pekertinya amat memikat hati bukan sahaja si suami malah anak-anak, kaum keluarga dan taulan. Seorang wanita cantik secara lahiriah tidak semestinya seorang yang anggun akhlaknya. Tetapi, sebaliknya walaupun pada hakikatnya ‘cantik yang sedang-sedang’ sahaja. Keanggunannya itu menyebabkan ramai yang kagum dengannya kerana ia berpunca daripada akhlak yang mulia dan berbudi bahasa yang sopan, Keanggunan isteri mestilah diserikan lagi dengan perhiasan diri, berpenampilan menarik serta berwangi-wangian di samping suami yang dikasihi.

SEBAIK-BAIK PERHIASAN DUNIA ADALAH WANITA SOLEHAH..


-Tip Keluarga Bahagia…….

::KISAH KEBAHAGIAANKU…::





Jodoh dah ditentukan oleh yang maha esa..kita merancang,ALLAH yang menentukan..bercinta bertahun2,kadang2 bukan jodoh kita..itu lah takdir..ALLAH bagi dugaan tanda ALLAH sayang kita..setiap dugaan pasti ada hikmah..apa yang perlu,berdoa dan redha…memang dari bumi anbiya’(mesir) lagi..niat aku balik nak kawin..alhamdulillah,ALLAH makbulkan doa ku…….

11 JUN 2011

Bermulalah pekenalan aku dan abi(bapa)..masa tu juga,abi menceritakan hasratnya..memang sebelum ni abi dah sms aku..tapi kali ni,jumpa berdepan..dan terus berbincang..dari situ aku baru kenal nama anak perempuannye,umur..dan aku baru tau ada anak perempuan..walaupun satu taman..(dekat je….)perbincangan yang begitu singkat..terus bagi tarikh untuk aku datang kerumah dia..kira cam merisik la..nak tengok2…..

19 JUN 2011 (perkenalan)

Tepat 10.30 pagi,aku dan keluarga sampai dirumahnya..time tu agak takut gak..tapi buat selamber jerrr..tiba2 keluarlah seorang wanita..aku tengok,agak tergamam gak..tapi tenang je..pertama kali aku tengok dia..sebelum ni,kenal nama,umur je..ni tengok pulak.;)..pihak keluarga terus bincang lebih dalam..pukul 2.30 petang,abi bagi no fon dia kat aku..aku tak tau nak start cam ne..malu2 la katakan..aku pun beranikan diri..1st sms aku hantar..’Assalamualaikum ustazah’..dia jawap salam aku..agak payah gak nak bekenalan..tapi tenang je..maka bermulalah pekenalan kami….

9 JULAI 2011 (bertunang)

Hari yang agak mendebarkan..kami bertunang..terus terang,aku redah je..ada sebab,tapi tak perlu aku ceritakan sebab nye disini..heheheh..memang time ni,perasaan kosong..baru kenal..sayang,cinta takde lagi..teruskan juga..asal perbincangan dengan dia,nak ikat 3 tahun..orang cakap,tunang tak leh lama2..aku mampu pasrah je la..memang kali ni,niat aku nak bercinta lepas kawin..sayang dan cinta boleh dipupuk..lepas bertunang ni,aku nak tengok dia pun susah,tapi tak pe..bertunang berlandaskan islam..tu yang terbaik..kami hanya sms je,tak pernah cakap talipon apatah lagi jumpa berdepan…setiap kali hari jumaat,tempat aku ni ada pasar malam..aku selalu belikan makanan kegemaran dia..nak tau pe die??hehehehe..jagung bakar je..

9 OGOS 2011 (perasaan)

Betullah kata pepatah,tak kenal maka tak cinta..Dalam tempoh pertunangan selama 42 hari..sebulan lebih kot..time ni,dia dah terima lamaran aku(kawin)..terkejut gak aku bila dia setuju,alhamdulillah..kami dah tetap tarikh perkahwinan..Cuma aku tak heboh kan lagi..ha,ni aku dah start kol dan cakap ngan dia..kata orang la,dalam tempoh pertunangan,kita kene kenal lebih mendalam bakal isteri kita..aku dah mula timbul perasaan rindu,sayang..tarikh ni la juga,kami tukar panggilan..malu2 gak mula2..lama2 tenang je..time ni,aku tengok dia selalu..bulan puasa,bagi juadah berbuka..jumpa pun segan2 lagi..kami tak la jumpa berdua2an..jumpa mesti ada orang tua..nak elak kan fitnah…kadang2 dia masak,dia panggil aku..kadang2 aku masak,ehhh aku beli je kat bazar..hehehe..

2 SEPTEMBER 2011(berkahwin)

Tarikh yang paling2 takotttt..gembira pun ada..hehehe..alhamdulillah..aku bersyukur,akhirnya aku diijab kabulkan..mula2 macam tak percaya gak,tapi kene caya..ini la hakikat nye..aku dah bergelar suami..;)..

Ini lah serba sedikit kisah perjalanan hidup ku..inilah takdir..sape sangka,kenal sekejap je..pastu kawin..inilah dinamakan jodoh..alhamdulillah..ada gak mulut2 yang terlampau ambil berat pasal kami..boleh ke belajar kawin,macam mana nanti,macam2 la..tapi kami buat tak tau je..kini aku dah merasa cinta lepas kawin..memang terbaik dari ladang..hehehehe..
Ha,kalau korang perasan la kan..tarikh2 keramat kami..banyak sembilan kan??apakah petandanya ek..


Kepada isteriku Nurul Asyikin binti Nor Rodin..

Lantaran aku melamarmu,aku sangat bertuah kerana tidak bertepuk sebelah tangan. Dikau menerimaku setelah mendapat petunjuk daripada yang ‘SATU’. Harapanku agar dikau sentiasa bahagia dan aku akan terus berusaha melindungi serta memberi yang terbaik buatmu sedari ‘aku terima nikahnya…..’
Kini bermulalah episod cinta kita..Cinta yang mendapat keredhaanNYA..Aku bertuah kerana memilikimu yang penyayang lagi penyabar..Bantulah daku untuk menjadi ‘kapten’ yang terbaik dalam mengemudi bahtera rumah tangga kita bersama. Semoga bahtera kita sentiasa diredhai ALLAH S.W.T untuk mengecap nikmat sakinah, mawaddah dan rahmah. InsyaALLAH…

Sunday, June 26, 2011

::DALIL KAHWIN::

Firman Allah Taala:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian (bujang) di antara kamu”. (Surah al-Nuur: 32)

Ayat di atas merupakan satu anjuran yang ditujukan kepada orang-orang yang tidak mempunyai isteri supaya berkahwin.

“Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya”. (Surah al-Baqarah: 232)

Ayat di atas merupakan larangan dari Allah Taala kepada ibubapa yang enggan atau menghalang perkahwinan anak-anak perempuan mereka.

“Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami)”. (Surah al-Furqaan: 74)

Firman Allah Taala ini menyatakan satu sifat terpuji, iaitu berdoa memohon kepada Allah Taala agar dikurniakan isteri dan zuriat yang menyejukkan mata.

2. DALIL DARI HADIS RASULULLAH S.A.W :

Sabda Rasulullah s.a.w :

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Nikah adalah sunnahku (jalan agamaku), maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunahku itu”. (Riwayat Abu Ya’la dari Ibnu Abbas r.a)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Berkahwinlah supaya kamu menjadi ramai, bahawasanya aku bermegah-megah dengan kamu akan segala umat pada hari kiamat hingga dengan anak yang gugur dari perut ibunya”. (Hadis Dha’if riwayat Abu Bakar bin Mardawiyah dari Ibnu Umar)

Rasulullah s.a.w. telah bersadba:

“Barangsiapa yang tidak beristeri kerana takutkan kepapaan maka dia bukan dari golongan kami”. (Hadis Dho’if riwayat Abu Mansur al-Dailami dari Abu Said)

Dari Aisyah r.a. dari Rasulullah s.a.w., baginda telah bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai keluasan rezeki hendaklah berkahwin”. (Hadis Dha’if riwayat Ibnu Majah)

Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan mengeluarkan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin kerana perkara ini akan memejamkan mata dari melihat perempuan ajnabi dan akan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang ketiadaan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berpuasa. Maka bahawasanya puasa itu melemahkan syahwat jimak. (Hadis yang disepakati oleh ali Hadis)

Lima hadis Rasulullah s.a.w. di atas menunjukkan beberapa fadhilat dan kelebihan yang mendorong dan menggalakkan supaya berkahwin. Ia juga menunjukkan akan kekhuatiran terhadap berlakunya zina mata dan zina faraj (kemaluan). Perkahwinan merupakan satu-satunya jalan keluar dari kekhuatiran tersebut .

3.DALIL DARI PERKATAAN PARA SAHABAT DAN ULAMAK

Saidina Umar al-Khatab r.a pernah berkata:

“Tiada yang menghalang perkhawinan itu kecuali oleh orang yang lemah dan yang membuat maksiat.”

Perkataan ini menjelaskan bahawa agama tidak menghalang perkahwinan dan sebaliknya merupakan satu kecelaan terhadap orang-orang yang menghalangnya.

Saidina Abbas r.a. berkata:

“Tidak sempurna ibadat seseorang yang mengerjakan ibadat sehingga dia berkahwin.”

Ini bermaksud, tidak sempurna ibadat seseorang itu kecuali setelah hatinya dikosongkan dari segala gangguan-gangguan was-was nafsu syahwat perkahwinan. Lalu kekosongan tersebut diisi dengan Allah s.w.t. Perkara ini akan hanya akan diperolehi dengan jalan perkahwinan sahaja.

Abdullah bin Masud pernah mengucapkan:

“Seandainya umurku hanya tinggal 10 hari sahaja untuk aku hidup, nescaya yang kusukai ialah berkahwin supaya aku tidak menemui Allah s.w.t. (mati) dalam keadaan aku bujang.

Sewaktu wabak taun melanda negeri Mesir, dua orang isteri saidina Mua’z telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut. Dan ketika beliau sendiri diserang taun, katanya:

“Kahwinkanlah aku. Aku tidak suka menemui Allah s.w.t. dalam keadaan aku bujang. “

Saidina Ali r.a. telah berkahwin selepas tujuh malam kematian Saiyidah Fatimah r.a.

Saidina Umar al-Khatab r.a. adalah antara sahabat yang banyak berkahwin. Katanya:

“Aku tidak berkahwin kecuali untuk menghasilkan anak.”

Sufian bin Uyainah berkata:

“Memperbanyakkan isteri bukanlah dari perkara dunia yang sia-sia kerana saidina Ali r.a. merupakan seorang sahabat yang paling zuhud mempunyai 4 orang isteri dan 17 orang jariah. Perkahwinan merupakan jalan para anbiyak dan akhlak mereka. “

Imam Ahmad bin Hanbal r.a. telah berkahwin pada hari kedua kematian isterinya. Katanya:

“Aku tidak suka bermalam dalam keadaan aku bujang.”

Sunday, June 19, 2011

::BERCINTA selepas KAHWIN::

Percintaan selepas perkahwinan itulah yang paling diredai Allah.

Sekiranya percintaan sebelum perkahwinan terjadi, batas perhubungan hendaklah dijaga, antaranya:

(1) Menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan.

(2) Menjaga maruah dan harga diri masing-masing.

(3) Mendapat restu dan kebenaran ibu bapa.

(4) Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki diredai dan diberkati Allah.

(5) Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, dating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan.

Dalam memilih pasangan pula, Islam turut memberikan garis panduan supaya rumah tangga yang dibina memberikan kerahmatan, ketenangan dan keharmonian, antaranya:

(1) Seseorang itu hendaklah memilih pasangan yang sesuai supaya kebahagiaan diidamkan menjadi kenyataan di alam rumah tangga.

Calon yang paling sesuai ialah yang taat beragama dan berakhlak mulia. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Perempuan dikahwini atas empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah perempuan yang beragama, nescaya kamu akan diberkati Allah." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)

(2) Bagi keluarga perempuan, hendaklah menyegerakan perkahwinan anak gadis mereka apabila dilamar calon suami daripada kalangan yang beragama dan berakhlak serta berkemampuan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila kamu didatangi sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya dan akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak perempuan kamu. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya satu fitnah besar akan berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa."

(3) Memilih pasangan daripada keturunan yang baik. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Jangan dekati tumbuhan hijau di tempat kotor. Lalu bertanyalah kalangan pendengar kepada Rasulullah. Apa dia tumbuhan hijau di tempat kotor wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Perempuan cantik yang membesar di rumah yang penuh kejahatan serta keburukan." (Hadis Riwayat ad-Daruqutni)

(4) Memilih pasangan bukan daripada kerabat terdekat bagi memelihara kecerdikan zuriat dan menghindari penyakit atau kecacatan disebabkan keturunan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Janganlah menikah dengan kaum kerabat kerana anak daripada pernikahan itu akan membesar kurus, lemah tubuh badannya dan tidak cerdik."

Sabda Baginda lagi: "Berkahwinlah dengan orang asing (tidak mempunyai tali persaudaraan) dan janganlah mengahwini kaum kerabat sendiri supaya boleh mengelak kelahiran anak yang lemah dan tidak sihat."

(5) Bagi lelaki, Islam juga menasihati supaya mengutamakan wanita yang masih dara. Dalam satu riwayat, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kahwinlah anak dara sesungguhnya mereka ini selalu berkata dengan baik, lemah lembut, kemungkinan kesuburan mereka amat besar (mendapat anak), kurang tipu helah (jujur) dan mudah reda dengan yang sedikit." (Hadis riwayat Ibnu Majah dan al-Baihaqi)