Tuesday, September 27, 2011

::CIRI-CIRI WANITA SOLEHAH::

Menurut Abdullah bin Amru, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dunia ini adalah perhiasan. Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah”
-HR Muslim,an-nasai,ibn Majah dan Ibn Hibban.

Tiada banyak syarat yang akan dikenakan oleh Islam bagi wanita untuk dinobatkan dengan gelaran isteri solehah. Seterusnya pasti diganjari pahala syurga yang penuh kenikmatan daripada ALLAH S.W.T. Mereka hanya memenuhi dua syarat sahaja iaitu:
::Taat kepada ALLAH S.W.T dan Rasul-Nya.
::Taat kepada suami.
Perincian daripada dua syarat tersebut adalah seperti berikut…

::BERIMAN::

Isteri yang solehah merupakan wanita yang beriman. Mereka yang mencintai ALLAH S.W.T dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya.Seorang yang tabah dan sangat bersabar dalam menghadapi dugaan hidup, sentiasa mengharapkan pahala dari ALLAH S.W.T dalam mengurus rumah tangga serta tidak merungut dalam menghadapi sebararng masaalah.Golongan wanita ini sungguh akur beribadat malah lebih mudah taat kepada suami.Bersifat qana’ah (berpada-pada) serta pemurah kepada orang yang memerlukan bantuannya.Selain itu, mereka juga memelihara aurat dengan sebaik mungkin, berbuat baik kepada ibu bapa dan bersikap senang dengan tetangga.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
“Maka wanita yang soleha itu ialah yang taat (kepada ALLAH dan suaminya) serta yang memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya sebagaimana ALLAH telah memelihara dirinya” -Surah an-Nisa ;34

::BERAKHLAK MULIA::

Isteri solehah bukanlah wanita yang bebas dalam pergaulan. Jauh sekali berperangai seperti wanita jahiliah. Malah, mereka tidak tergolong di kalangan yang suka keluar malam, berfoya-foya atau melepak tanpa arah tujuan. Tidak perlu gusar kerana mereka seorang isteri yang akan mendapatkan izin suami terlebih dahulu sebelum keluar rumah, melakukan sesuatu perkara atau membuat sebarang keputusan. Mereka hanya berhias untuk suami tercinta sahaja, bukannya seorang yang suka berlebih-lebihan dalam perhiasan ketika keluar rumah. Tambahan pula, berperibadi mulia merupakan daya penarik mereka yang utama sebagai wanita solehah.
Akhlak mahmudah yang dimiliki membuatkan mereka sering menghindarkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara negatif seperti suka mengumpat, membawa fitnah, berburuk sangka dan sebagainya. Maka, tidak mustahillah jika golongan ini mempunyai sekeping hati yang begitu suci. Kewajipan terhadap suami terpelihara rapi. Isteri solehah sedia berkhidmat untuk suami dan sentiasa menyenangkan hati. Aduhai….beruntungnya bagi jejaka yang dapat menjadikan wanita solehah sebagai isteri yang bakal melahirkan zuriat pecinta ILAHI dan Nabi.

::LEMAH LEMBUT DAN PERAMAH::

Seorang isteri yang solehah perlu pandai mengambil hati suami. Tawanlah dengan tutur kata yang sopan, lemah lembut apabila berbicara, selalu senyum di samping mengucapkan kata-kata yang menyenangkan suami. Mereka tetap sebegitu walaupun berhadapan dengan keadaan suaminya dalam hal yang kurang menyenangkan suami. Sikap sebeginilah yang bisa mencairkan hati suami dan sering dirindui jika si isteri tiada di sisi. Elakkan daripada berkata-kata hal yang tidak disukai suami atau merungut-rungut mengenai kesusahan hidup.
Merekalah wanita penyejuk mata dan penawar hati dengan tingkahnya yang lemah lembut serta sikap peramahnya. Di samping itu juga, golongan wanita turut disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana setiap butir yang diucapkan tiada yang menyakitkan hati, menyinggung perasaan malah menenangkan sesiapa yang mendengarnya.

::PENYAYANG::

Sabda Rasulullah s.a.w
“Nikahilah wanita yang penyayang”-HR Abu Daud

Sifat penyayang sudah sinonim dengan insan yang bernama wanita. Mungkin naluri keibuan yang ada di dalam diri mereka yang menzahirkan sifat ini. Selain itu, mereka juga bersifat belas ihsan terhadap sesiapa sahaja sehinggalah kepada haiwan dan makhluk lain. Setiap tindak tanduk isteri solehah pasti akan menjurus ke arah kasih sayang terhadap suami dan anak-anak. Dengan sifat penyayangnya itu yang membuatkan mereka lebih banyak berkorban demi kebahagiaankeluarga tercinta.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda..
“Paling baiknya wanita Quraisy ialah wanita yang paling lembut kepada anaknya ketika masih kecil dan yang paling pandai menjaga harta suaminya”-HR Bukhari.

::BAIK KETURUNANNYA::

Kebiasaanya, benih yang baik akan menghasilkan tanaman yang baik juga. Begitu juga dalam urusan pemilihan calon isteri. Carilah bakal isteri daripada keturunan yang baik agar anak-anak yang bakal dilahirkan juga mewarisi kebaikan nenek moyang mereka. Jika keturunannya kurang baik, maka didiklah mereka dengan didikan agama yang sempurna agar kelak dia juga akan menjadi isteri yang solehah.

::ANGGUN::

Usahlah terlalu memilih isteri di kalangan wanita yang cantik sahaja tetapi pilihlah seseorang yang anggun peribadinya. Anggun di sini bermaksud segala tutur bicara dan budi pekertinya amat memikat hati bukan sahaja si suami malah anak-anak, kaum keluarga dan taulan. Seorang wanita cantik secara lahiriah tidak semestinya seorang yang anggun akhlaknya. Tetapi, sebaliknya walaupun pada hakikatnya ‘cantik yang sedang-sedang’ sahaja. Keanggunannya itu menyebabkan ramai yang kagum dengannya kerana ia berpunca daripada akhlak yang mulia dan berbudi bahasa yang sopan, Keanggunan isteri mestilah diserikan lagi dengan perhiasan diri, berpenampilan menarik serta berwangi-wangian di samping suami yang dikasihi.

SEBAIK-BAIK PERHIASAN DUNIA ADALAH WANITA SOLEHAH..


-Tip Keluarga Bahagia…….

2 comments: