Friday, April 20, 2012

:::DiLamar Wanita:::


“Enta dah ada calon??”..tersedu seketika pabila baca mesej ni…”ish,ana tak terpikir lagi bab calon ni,kenapa ye ust?”
“ana nak minang enta utk anak ana,anak ana ni nama……….. .sekarang belajar lagi..ana rasa sesuai utk enta”…
baca sambil tersenyum,ada lagi manusia macam ni..ingat zaman dulu je..”tak pe la ust,bagi ana fikir dan istikharah dulu insyaALLAH”….

Ada lagi ke keluarga Wanita meminang lelaki pada zaman ni??..

Ada pula yang berkata, Cara ini untuk lelaki bolehlah!! Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata, “macam perigi mencari timba“, “wanita tidak bermaruah” dan macam-macam lagi.
Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita kaji sejarah perkahwinan nabi kita.

Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya? Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w., beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda.

Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang.

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh.

Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.

Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.

Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.

Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat..

Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.? Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita. Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang....

Islam adalah agama yang syumul. Hiduplah dibawah panduan syariat semoga bermanfaat di dunia dan akhirat. InsyaALLAH...

Wednesday, April 18, 2012

:::Jika Dia bukan jodohku:::


Bukan senang untuk beriman dengan takdir. Kita mungkin berkata kita percaya, tetapi apabila datang dugaan-dugaan tertentu, ada yang akan cuba bertindak seolah-olah tidak dapat menerima ketentuanNYA

Orang yang berusaha dengan niat untuk beramal akan “berasa lain” sekiranya mereka gagal mencapai matlamat. Mereka akan sentiasa berasa tenang walaupun didatangi kesusahan atau kesenangan.

Mereka terdiri daripada golongan yang bahagia di dunia dan sedang menanti kebahagiaan di akhirat. Tiada satu perkara yang berlaku pada diri mereka yang dapat menggugat ketenangan itu.

Sebaliknya, mereka yang berusaha untuk kebahagiaan dunia mungkin akan merasa bahagia apabila matlamat tercapai. Namun sekiranya gagal, mereka akan berasa amat dukacita.

Sekiranya mereka kehilangan sesuatu, mereka akan bermatian-matian untuk mempertahankan atau mendapatkannya semula. Sekiranya mereka gagal mendapatkannya semula, hati mereka akan berasa gelisah dan hidup mereka mula menderita.

Lalu mereka menyalahkan orang lain dan akhirnya menyalahkan tuhan...
Nazubillah...

Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

Jika seseorang itu jodoh kita, dia tetap jodoh kita. Jika seseorang itu bukan jodoh kita, dia tetap bukan jodoh kita, walaupun apa pun yang kita lakukan, tidak ada gunanya memaksa diri mempertahankan. Dengan menyerahkan kepada ketentuan, lazimnya tuhan akan membuka jalan-jalan yang tidak pernah kita fikirkan.

Mempercayai takdir bukan bermaksud berputus asa. Fras “putus asa” sepatutnya tidak wujud di dalam kamus hidup seorang mukmin. Kita tidak boleh berputus asa dalam mengharapkan rahmat Allah.

Perbanyakkan doa untuk kebaikkan. Sebarang usaha perlu dijalankan dengan kaedah yang betul. Ada sesetengah orang yang ditinggalkan kekasih atau suami lalu cuba mendapatkan semula dengan kaedah mengumpat, memfitnah dan memburukkan orang lain.

Sebaliknya, sekiranya mereka berhenti seketika untuk berdoa dan bermuhasabah diri serta menerima ketentuannya, lebih banyak manfaat dapat diperolehi. Salah satu daripadanya adalah ketenangan, selanjutnya adalah iman. InsyaAllah.. =)

Tuesday, April 10, 2012

:::Damba KasihNYA:::


Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja. Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian.

Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu.

Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengguguran cukup merisaukan banyak pihak.

Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus ke arah maksiat dan nafsu.

Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini.

Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu.

Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko.

Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Saya sedang berusaha untuk menghidupkan kembali nikah muda sambil belajar..

Ia semata-mata bertujuan untuk mengelakkan perkara maksiat yang boleh berlaku seperti berhubungan melalui telefon (melepas rindu dendam melalui telefon, sms, chatting, fb dll), bertemu antara pasangan walaupun ada mahram (tetap akan berlaku bertentang mata dan apa sahaja yang boleh menjadi muqaddimah kepada zina mata, tangan, hati dll.)

Saya sendiri bernikah pada 2/9/2011..(baru lagi)..umur saya 25 tahun..isteri kesayangan saya 21 tahun..isteri saya seorang pelajar di IPT tempatan..selepas 6 bulan saya bernikah,saya terus terbang ke timur tengah untuk menyambung pengajian saya..tiada masaalah walaupun jauh...Rindu itu wajib,tapi rindu isteri pahala,chatting,Fb(dan lain2) dengan isteri dapat pahala..apa yang saya cari,cinta dalam keredhaanNYA..

Kami sama macam pasangan couple2 yang lain..Datting,msg,keluar makan sama2..Tapi beza kami 'HALAL'...itu yang mahal...Tambahan pulak berCinta selepas nikah..ibarat dunia kita yang punya..

Apabila persoalan nikah ini diutarakan, ramai yang akan memberikan respon yang skeptik. “Saya belum bekerja!”, “Saya masih belajar!”, “Mana nak cari duit buat belanja kahwin?”, “Ni bukan main-main, nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak Ayah tak bagi!”, “Nak tinggal kat mana? Sapa yang nak bayar sewa rumah” dan 1001 alasan lagi.

Memang saya akui,sebelum saya bernikah..ini lah persoalan yang selalu bermain diminda saya..Tapi Alhamdulillah..selepas saya nikah,dengan niat saya untuk mencari cinta keberkatan dan keredhaanNYA..ALLAH mempermudahkan semuanya...

Apa yang saya buat sebelum nikah...Doa dan Istikharah..Alhamdulillah syukur... ALLAH memakbulkan niat saya..

Jadi, pada yang hangat bercouple..betulkan niat anda..jangan risau..Rezeki, Jodoh, Maut semua ALLAH tentukan..kita sebagai hambaNYA..yakin dengan janjiNYA.....

Monday, April 9, 2012

:::Cemburu:::


Cemburu tanda sayang........


Cemburu seringkali menghiasi perkawinan. Andaikan perkawinan tanpa cemburu rasanya lauk sayur tanpa perasa. Dengan kata lain cemburu adalah perisa perkawinan. Namun bila kecemburuan itu tidak terkawal, maka perkara itu akan menjadi masalah bagi suami atau isteri. Kerana, suami atau isteri bila cemburu terus akan membuatnya kelihatan jengkel.


Mereka selalu dihantui oleh perasaan takut, gelisah, bahkan boleh membuatkannya stress. Bila hal ini terjadi, maka kehidupan dalam perkawinan tidak akan tenteram dan bahagia. Kehidupan suami isteri akan tidak harmoni apabila salah satu pihak atau kedua-duanya  saling tidak percaya, tidak mengerti dan memahami,  saling tidak menghargai, dan saling tidak menerima.


Cemburu itu perlu, asalkan tidak buta.


Kerana cemburu itu wujud kasih sayang. Kerana cemburu yang berlebihan akan menimbulkan rasa tidak percaya pada pasangan. Pernahkah kita mendengar cemburu buta? Ertinya, cemburu yang tidak berdasarkan keadaan yang nyata. Asalkan ada sedikit isu, terus cemburu. Tanpa check atau recheck.


Nampaknya orang seperti itu mudah dipermainkan isu. Dengan kata lain, mereka hanya dipermainkan perasaannya, tiap waktu diumbang-ambingkan gelombang. Cemburu buta memang tidak berdasarkan data-data yang tepat.


Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan’ kepada isteri.
Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.


Cemburu adalah perkara normal pada setiap orang, selama cemburu itu masih dalam batas-batas yang wajar dan rasional..Cemburu dapat juga meningkatkan kualiti perkawinan, sehingga hubungan suami isteri semakin hangat dan mesra. Justeru itu, akan pelik bila suami atau isteri tidak mempunyai perasaan cemburu apabila melihat suami atau isetri dekat dengan seseorang.



Itu bererti rasa cinta dan rasa memiliki dari suami atau isteri berkurangan, dan  ini yang akan merosakan ikatan perkawinan. Dan yang terpenting, bagaimana kita mengolah cemburu itu jadi tenaga yang dapat memajukan perkawinan, bukan sebaliknya. Cemburu masih diperlukan, asalkan bertujuan untuk memupuk kasih sayang.
  




:::Lelaki Dayus:::





Bukan mudah menjadi suami kerana tanggungjawab yang digalas oleh suami adalah sangat besar terutama dalam bab tanggungjawab mereka terhadap isteri mereka dan anak-anak perempuan mereka. Bagi memudahkan kefahaman, tulisan ringkas ini akan fokus kepada isu lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w tidak akan masuk syurga.

Nabi s.a.w bersabda;

ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي

Ertinya: Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus. (H.R. Ahmad dan An-Nasaie; Albani mengesahkannya Sahih : Ghayatul Maram, no. 278

Erti Dayus

Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu:

1. Sabda Nabi s.a.w:

وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله

Ertinya: Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak. Lalu sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus? Bersabda Nabi s.a.w: Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya). (H.R. At-Thabrani; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)

Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

Dayus Adalah Dosa Besar

Ulama’ Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar:

لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)

Ertinya: Allah telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320)

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini. Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya

Bila Lelaki menjadi Dayus?

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila:

1. Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2. Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3. Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4. Membiarkan anak perempuannya ber’dating’ dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa ‘sporting’ yang memahami.

6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7. Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8. Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan? Tidak sama sekali.

9. Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10. Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11. Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12. Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13. Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14. Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Terlalu banyak lagi jika ingin coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit ‘dayus’ kepada dirinya.




Mungkin kita akan berkata dalam hati: “Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku.”

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi. Awas wahai lelaki beriman, jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini. Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori dayus yang tiada ruang untuk ke syurga Allah s.w.t. Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi s.a.w bersabda:

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya: Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid. (H.R. Ahmad; sahih menurut Syeikh Syuaib Arnout)...

NauzubiLLAH..........


Tuesday, April 3, 2012

:::Berfikirlah:::

                                                   
                                  Wahai Sahabat SeAkidahku..

 ::::Janganlah kau membiarkan kemanisan bercinta dihirup sebelum engkau berkahwin dengan ‘si dia’.

 ::::Bercintalah kau dengannya sekadar sahaja. Kelak mungkin ‘si dia’ bukan jodoh untukmu.

 ::::Jika kau ingin berbahagia seumur hidup, tahanlah dirimu untuk berbahagia sebelum engkau berhak             menjadi milik ‘si dia’.

 ::::Jika engkau menyintainya, binalah asas perkahwinan dengan tidak melanggar syariatNYA.

 ::::Kebahagiaan yang kau lihat sebelum berkahwin hanya palsu, yang hakikatnya adalah selepas kau diijabkabulkan.

 ::::Jikalau engkau inginkan pasangan hidupmu yang terbaik dalam untukmu, maka engkaulah yang patut menjadi yang terbaik dahulu.

 ::::Membina keserasian sebelum berkahwin bukanlah dengan cara berdating, cukuplah sekadar engkau tahu apa yang perlu kau tahu.

 ::::Bercintalah untuk mencapai cintaNYA

::::Jika engkau masih belum bercinta, tahanlah dirimu untuk bercinta sehingga yakin cinta tersebut membawamu ke gerbang perkahwinan.

::::Jangan biarkan nafsumu dengan cinta yang tidak diterima di sisi ALLAH, kelak ALLAH akan tarik kebahagiaan darimu. :)

Friday, March 30, 2012

:::Doaku Buatmu:::

Ya ALLAH...
Kau ampunilah dosaku yang telah kulakukan
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas
Kau berikanlah aku kekuatan mental
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhan
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMU
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan

Ya ALLAH...
Sekiranya isteriku ini adalah pilihanMu di Arash
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Sekiranya isteriku ini adalah isteri yang akan membimbing tanganku dititianMU
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya isteri ku ini adalah bidadari untuk ku di JannahMU
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya
Sekiranya isteri ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMU
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya
Sekiranya isteri ku ini jodoh yang dirahmati olehMU
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya

Tetapi ya ALLAH...
Kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu
Sekiranya isteri ku tergoda dengan keindahan dunia Mu
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya
Sekiranya isteri ku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan
Kurniakanlah aku kekuatan Mu untuk aku memperbetulkan keadaanya
Sekiranya isteri ku menyintai kesesatan
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena

Ya ALLAH…Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan..Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai suami
Kau hukumlah aku didunia tetapi bukan diakhiratMU
Sekiranya aku ingkar dan derhaka
Berikanlah aku petunjuk kearah rahmatMU

Ya ALLAH…Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbinganMU..Aku cacat tanpa hidayahMU
Aku hina tanpa Rahmat MU

Ya ALLAH…Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMU
Jadikanlah aku suami yang disenangi isteri
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama MU
Bimbinglah aku menjadi Suami Mithali
Hanya padaMU

Ya ALLAH...
Ku pohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan dugaanMU
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru
Kerana aku leka dengan keindahan duniaMU
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaranMU
Kerana pendek akal ku mengharungi ujian Mu

Ya ALLAH Ya Tuhanku…….
Aku hanya ingin menjadi suami yang dirahmati
Suami yang dikasihi
Suami yang Mithali
Suami yang sentiasa disayangi
Amin, Ya Rabbi Allamin…….