Allah Taala telah menjadikan perkahwinan di antara tanda-tanda kekuasaanNya.
Menurut Syeikh Prof. Muhammad Ali al-Sabouni di dalam kitabnya az-Zawaaj al-Islami al-Mubakkir, Allah Taala menganugerahkan tiga kurniaan kepada hamba-hambaNya yang telah hidup berkeluarga (berkahwin) iaitu:
Pertama:
Isteri merupakan seorang manusia mulia yang Allah Taala ciptakan dari jenis yang sama dengan lelaki (suami). Oleh itu, kemuliaan suami itu menjadi sejajar dengan kemulian dan kemanusiaan isterinya juga.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. (Surah ar-Rumm: Ayat 21).
Allah Taala juga menciptakan isteri dari jenis yang sama agar mereka saling kenal-mengenali dan berkasih-sayang sepertimana kata orang: Setiap jenis akan berkasih sayang dengan sesamanya juga.
Begitu juga dengan sebuah syair Arab yang indah ini:
Dalam asmara aku telah dikenakan baju indah bersulam cinta
Oleh seorang gadis yang amat jelita
Hingga purnama pun malu di hadapannya
Bila mata ini berbuat salah kerananya
Maka dengan airmata ia basuh semua dosa.
Kedua:
Ketenteraman dan ketenangan jiwa yang dirasakan oleh suami ketika berdampingan dengan isteri yang solehah. Ini akan membawa kepada ketenteraman dan ketenangan dalam kehidupan berumahtangga.
Firman Allah Taala bermaksud:
Isteri-isteri supaya kamu merasa tenteram kepadanya. (Surah ar-Rumm: Ayat 21).
Isteri yang menjadikan suami merasa tenteram dan suami juga menjadikan isteri merasa tenang menepati firman Allah Taala bermaksud:
Dialah yang menciptakan kalian dari diri yang satu dan darinya Dia menciptakan isterinya agar dia merasa senang kepadanya.
(Surah al-Araaf: Ayat 189).
Ketiga:
Dengan ikatan kasih sayang dan cinta maka Allah Taala mengikat hati suami dan isteri itu.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Surah ar-Ruum: Ayat 21).
Tanpa adanya nikmat ini nescaya seseorang suami tidak akan merasa senang kepada isterinya.
Dengan kekuasaan-Nya maka tertanamlah perasaan cinta ini sehingga apa yang menyakiti akan disakiti bersama dan apa yang disenangi akan disenangi bersama.
Perkahwinan Itu Satu Ibadah
Secara umumnya kita telah mengetahui bahawa perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW. Perkahwinan juga adalah suatu ibadah serta salah satu cara mendekatkan diri kepada-Nya.
Dengan perkahwinan, seseorang Islam itu akan mendapat ganjaran dan pahala daripada Allah Taala bilamana perkahwinan itu dilakukan dengan ikhlas dan bukan kerana nafsu semata-mata.
Bahkan hubungan kelamin di antara suami isteri juga mendapat ganjarannya.
Sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud:
"Dan pada kemaluan seseorang dari kalian terdapat sedekah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang yang menyalurkan nafsu syahwat (kepada isterinya) memperolehi pahala? Rasulullah SAW bertanya: Apakah seseorang yang menyalurkan nafsu syahwatnya dengan cara yang haram (berzina) ia berdosa? Mereka menjawab: Betul. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Demikian juga jika ia menyalurkan pada tempat yang halal maka ia akan memperolehi pahala."
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad).
Halangan Dalam Melaksanakan Dakwah
Mungkin ada yang bertanya sendirian, mengapa saya memilih tajuk ini? Bukankah tajuk 'hebat' yang lain lebih banyak untuk dibicarakan?
Saya memilih tajuk ini kerana saya teringat satu tulisan ulama yang pernah saya baca suatu ketika dahulu mengenai halangan-halangan utama untuk berdakwah.
Di antara halangan tersebut ialah suami/isteri serta keluarga.
Asas dakwah sudah tentulah bermula dari institusi keluarga dengan suami dan isteri menjadi ketuanya.
Jika mereka sendiri tidak sehaluan dan rapuh pegangannya, mana mungkin dakwah ini dapat dijalankan dengan jayanya di rumah, apatah lagi untuk masyarakat Islam yang lain.
Oleh itu, suami atau isteri (serta bakal) perlu memahami perkara ini dengan sebaiknya agar usaha dakwah kita tidak terbantut di tengah jalan.
Kesimpulan ringkas dari tazkirah kali ini ialah:
1. Perkahwinan itu satu ibadah dan anugerah dariNya.
2. Percepatkan perkahwinan jika sudah bersedia.
3. Selain memilih pasangan hidup yang beragama, pasangan hidup yang memahami perjuangan kita juga perlu diutamakan.
4. Suami dan isteri perlu melayari bahtera rumahtangga dengan perasaan kasih sayang dan cinta.
5. Mendidik anak dengan agama adalah tanggungjawab ibubapa.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment