Dalam post yang lepas berkenaan Nikah Khitbah, ada juga yang bertanya bagaimana hendak memahamkan kedua ibu bapa tentang kepentingan atau keperluan untuk berkahwin pada usia yang muda. Bagi saya selaku orang muda, memang ketika ini nafsu sedang menggila, inginkan keseronokan, hiburan, kasih sayang dan sebagainya. Jujur saya katakan, melihat sahabat/biah dapat mendirikan rumah tangga pada usia yang muda membuatkan diri rasa ingin juga seperti mereka. Bukan semata-mata kerana hawa nafsu. Tetapi ingin mencontohi Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam. Selain dapat menyempurnakan sebahagian agama, dapat menjaga kemaluan, nafsu, pandangan mata, mengelak daripada berzina hati, pergaulan bebas dan pelbagai lagi perkara yang tidak elok. Dan jujur juga saya katakan, memang dalam dunia kini ia satu keperluan yang perlu disegerakan.
Maka, timbul persoalan bagaimana ingin menyara keluarga, sedangkan masih lagi belajar. Bagaimana ingin membahagikan masa untuk belajar dan tugasan keluarga. Urusan mencari nafkah dan sebagainya. Bukankah elok habiskan belajar dahulu, cari kerja, kemudian barulah berkahwin. Nanti gagal sebab tak dapat bahagikan masa untuk belajar.
Sebelum meneruskan lebih lanjut tentang perkara ini, mari sama-sama kita kembali bertanyakan iman kita dalam beberapa perkara dan persoalan.
1. Rezeki itu siapa yang memberi dan menjadi penentunya? Sudah pasti Allah.
2. Jodoh itu ketentuan siapa? Allah pastinya.
3. Mencari yang halal itu suruhan siapa? Allah.
4. Siapa yang melarang mendekati perkara yang membawa kepada permulaan zina? Tentulah Allah.
5. Perkahwinan di usia muda itu sunnah siapa? Sunnah Rasulullah.
6. Ramai mana yang tidak berkahwin gagal dalam pelajaran?
7. Ramai mana yang sudah puluhan tahun berkahwin akhirnya bercerai?
Tetapi mereka mendatangkan pula dalil hadith bahawa "Barangsiapa yang mampu berkahwin, berkahwinlah, sesungguhnya ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan, dan barang siapa yang masih belum mampu hendaklah berpuasa."
Berpuasalah jawapannya yang akan mereka gunakan. Langsung tidak melihat hikmah dan kebaikan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan yang lebih besar faedahnya dan lebih sedih mudharatnya.
Maka, sebaiknya perkara ini dibawa berbincang secara baik dengan kedua ibu bapa, kerana apa yang anak mereka mahukan adakah perkara yang disuruh agama dan untuk menjaga diri mereka daripada terus terjebak kedalam kancah kemaksiatan. Dan untuk menjauhkan kepada zina yang dimurkai Allah. Nauzubillahiminzalik.
Ibu bapa tidak sepatutnya menegah dan memberikan seribu alasan tanpa jalan penyelesaian dan pilihan buat mereka. Bila anak-anak ini mohon secara baik, dan minta pendapat mereka untuk melangsungkan perkahwinan. Jangan ditolak mentah-mentah atas alasan masih belajar di universiti, belum ada pekerjaan tetap, belum itu ini dan sebagainya. Sebaliknya terangkan secara baik pro dan kontra bila akad nikah dilangsungkan ketika waktu belajar, dan berikanlah cadangan serta perancangan buat mereka, andai betul-betul mereka mahu dan berkemampuan untuk memimpin sebuah keluarga.
Betul, ibu dan ayah lebih berpengalaman dalam isu rumah tangga. Mereka lebih arif dan sudah masak dengan selok belok alam perkahwinan. Justeru itu, berilah peluang dan pendapat buat anak-anak agar mereka mengerti dan memahami tanggunjawab sebuah perkahwinan yang sebenarnya. Kerana saya yakin mereka yang meminta untuk berkahwin di usia yang muda ini adalah mereka yang faham dan ingin mengikut tuntutan agama.
Jika tidak, sudah pasti mereka tidak meminta untuk berkahwin pada usia yang muda. Kerana tanpa perkahwinan mereka lebih seronok untuk berfoya-foya, tak perlu fikir soal nafkah, soal agama, soal maruah, soal dosa, pahala dan segala-galanya. Justeru itu, bila mereka meminta untuk berkahwin awal, bermakna mereka ada kefahaman dan kemahuan untuk mengikut suruhan agama. Cuma, kemahuan itu perlu kita pandu dan bawa ia dengan sebaiknya bukan membangkang membati buta.
Apa respon anda? Setuju atau tidak berkahwin pada usia muda/semasa belajar? Bagaimana untuk mengatasi dan memahamkan kedua ibu bapa dan masyarakat disekeliling anda? atau ada perkara-perkara lain yang ingin ditambah atau perlu diperbetulkan? Silakan. Kita berbincang dan berkongsi pendapat secara ilmiah dan agama.
No comments:
Post a Comment